MOTIVASI DALAM PEMBELAJARAN
A) MOTIVASI
Definisi Motivasi
Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan
hendak berjaya ataupun hendak mencapai sesuatu. Motivasi boleh juga dikatakan
sebagai rangsangan untuk kejayaan seseorang ataupun rangsangan hendak
mengelakkan diri daripada kegagalan. Orang yang mempunyai motivasi bererti dia
sudah memperoleh kekuatan bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup sama ada di
dunia ataupun akhirat ataupun keduanya sekali. Ahli psikologi memfokuskan pada tiga persoalan
asas mengenai motivasi iaitu :
- Apakah yang menyebabkan seseorang memulakan satu tingkah laku?
- Apakah yang menyebabkan seseorang bergerak ke arah matlamat atau impian?
- Apakah yang menyebabkan seseorang tabah dan berkeras hendak mencapai impian itu?
Motivasi berasal daripada
perkataan Inggeris iaitu motivation yang bermakna bersemangat. Motivasi adalah
sesuatu yang ada (ataupun tiada) dalam diri dan minda yang akan menentukan
kejayaan ataupun kegagalan dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Wikipedia mendefinisikan motivasi
sebagai suatu proses untuk menggalakkan sesuatu tingkahlaku supaya dapat
mencapai matlamat-matlamat yang tertentu.
Menurut Kimble, et al(1984)
motivasi adalah proses yang terjadi dalam diri yang menciptakan tujuan dan
memberikan tenaga bagi tingkahlaku seseorang iaitu daya penggerak yang ada di
dalam diri seseorang untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu demi mencapai
suatu tujuan.
Kategori Teori Motivasi
I) Teori Keperluan
i) Teori Hierarki Keperluan Maslow
Teori Maslow (Teori Hierarki Keperluan Maslow) sering
digunakan untuk meramal tingkahlaku orang dalam kelompok atau organisasi, dan
bagaimana memanipulasi atau membentuk tingkahlaku tersebut dengan cara memenuhi
keperluannya. Ianya bertolak dari dua andaian dasar iaitu :
- Manusia selalu mempunyai keperluan untuk berkembang dan maju;
- Manusia selalu berusaha memenuhi keperluan yang lebih pokok terlebih dahulu sebelum berusaha memenuhi keperluan lainnya, bermaksud keperluan yang lebih asas harus dipenuhi terlebih dahulu sebelum keperluan tambahan yang lebih tinggi mengendalikan tingkah laku seseorang.
Yang penting daripada pemikiran
Maslow ini adalah keperluan yang telah dipenuhi ( sebahagian atau keseluruhan)
akan berhenti daya motivasinya, kemudian motivasinya berpindah ke upaya untuk
memenuhi keperluan lainnya yang lebih tinggi.
Pemahaman tentang adanya hubungan
yang erat antara tingkah laku dan keperluan adalah penting untuk dapat mencipta
kepuasan atau mengurangi ketidakpuasan individu anggota kelompok.
Melalui pengamatan terhadap
tingkahlaku anggota kelompok dan dikaitkan dengan tingkat keperluannya, maka
dapat dilakukan tindakan tertentu oleh anggota lainnya atau oleh pimpinan
kelompok dalam rangka membentuk sebuah kelompok yang jitu.
ii) Teori McClelland
Teori McClelland adalah teori motivasi yang berhubung erat dengan
proses belajar.
l Ia mengemukakan bahawa keperluan individu
merupakan sesuatu yang dipelajari dari lingkungan kebudayaannya.
l Orang yang tidak pernah melihat dan mendengar
tentang televisyen, tidak akan pernah termotivasi untuk memiliki televisyen.
l Oleh itu, motivasi yang bersumber dari adanya
upaya untuk memenuhi keperluan, merupakan sesuatu yang dapat dipelajari dan
diajarkan.
l McClelland membahaskan tiga jenis keperluan
iaitu :
1. n-Ach (need for achievement), iaitu keperluan
individu kepada prestasi
2. n-Aff (need for affiliation), iaitu keperluan
individu kepada teman
3. n-Pow (need for power), iaitu keperluan
individu kepada kekuasaan.
Tinggi atau rendahnya tingkat keperluan
seseorang akan menentukan kuat atau lemahnya motivasinya untuk mencapai tujuan
tersebut.
Mereka yang mempunyai n-Ach tinggi lebih senang
menetapkan sendiri tujuan hasil kerja yang akan dicapai, dengan mengukur
kemampuan sendiri, kerja yang efisien serta bertanggungjawab terhadap penyelesaian
masalah yang ada.
II) Teori Proses
i) Teori Pembentukan Matlamat
(Goal-setting Theory)
Teori pembentukan maklumat merujuk kepada
pengesahan sesuatu matlamat. Setiap orang mempunyai matlamat dalam hidupnya.
Matlamat merupakan sumber motivasi yang penting. Teori ini memberi kejelasan
matlamat dengan lebih khusus yang digariskan oleh pihak pentadbir dan
pembentukan matlamat oleh individu itu sendiri.
Contoh
: Cikgu Rahmat akan mengajar lebih tekun supaya akhirnya dia diberi anugerah
“Guru Cemerlang” dan diberi kenaikan pangkat oleh Pengetua.
ii) Teori Jangkaan
Teori jangkaan menumpukan pemilihan kelakuan
yang membawa kepada ganjaran atau upah yang hendak dicita-citakan. Dalam teori
ini, individu-individu akan menilai strategi-strategi tertentu seperti bekerja
keras dan berusaha lebih dan akan memilih kelakuan yang diharapkan mendapat
ganjaran seperti kenaikan gaji atau penghargaan yang bernilai bagi individu
itu.
Contoh :
Apabila seseorang pekerja yang bekerja kuat
akan mendapat gaji yang lebih (melalui komisyen), maka teori ini menjangkakan
bahawa pekerja itu akan bekerja keras untuk mendapatkannya (kelakuan yang
bermotivasi).
iii) Teori Persamaan (Teori Ekuiti)
Teori Persamaan disebut juga sebagai Teori
Ekuiti. Seseorang itu akan membuat perbandingan diantara input-output kerjanya
dengan input-output rakannya. Sekiranya seseorang itu menganggap
ketidakseimbangan atau ketidakadilan wujud di antara ganjaran atau penghargaan
dengan usaha yang dilakukan, maka ia akan cuba mengurangkan usahanya.
Antara input kerja yang terlibat ialah usaha,
kemahiran, pelajaran dan prestasi yang dibawa ke dalam kerja. Hasil atau output
meliputi gaji, kenaikan pangkat, penghargaan, pencapaian, dan darjat.
Dengan memahami proses timbulnya motivasi yang
terjadi dalam diri individu, kita dapat memanipulasi tingkahlaku seseorang
untuk mencapai tujuan yang kita inginkan.
B) PEMBELAJARAN
Definisi
Pembelajaran
Pembelajaran adalah perubahan tingkah laku, iaitu perubahan yang
lebih maju, lebih tinggi dan lebih baik daripada tingkah laku yang sedia ada
sebelum aktiviti pembelajaran.
Pembelajaran juga bermaksud perubahan tingkahlaku
yang disebabkan oleh pengalaman. Perubahan fizikal seperti bertambahnya
ketinggian, bukannya pembelajaran. Kriteria perubahan nampak pada tingkah laku
dan perubahan terhasil dari pengalaman dan latihan
1.
Pembelajaran formal
Pembelajaran yang disediakan oleh
institusi-institusi pembelajaran atau latihan yang berstruktur untuk tujuan
pensijilan.
2.
Pembelajaran informal
Pembelajaran yang terhasil daripada
aktiviti seharian yang berkaitan dengan tempat kerja, keluarga atau masa
lapang. Pembelajaran ini tidak berstruktur dan bukan untuk tujuan pensijilan.
3.
Pembelajaran nonformal
Pembelajaran jenis ini tidak
dikendalikan oleh institusi pembelajaran atau latihan serta bukan untuk tujuan
pensijilan. Ia masih berstruktur kerana mengikut jadual perancangan pelajar itu
sendiri.
Terdapat 6 jenis prinsip dalam pembelajaran,
iaitu :
- Kesediaan pembelajaran
- Pengalaman
- Unsur jenaka
- Motivasi
- Objektif pembelajaran
- Menyusun pembelajaran
Perbezaan Belajar, Mengajar dan Pembelajaran
Istilah
pembelajaran berhubung erat dengan pengertian belajar dan mengajar. Belajar,
mengajar dan pembelajaran terjadi bersama-sama. Belajar dapat terjadi tanpa
guru atau tanpa kegiatan mengajar dan pembelajaran formal lain. Mengajar
meliputi segala hal yang seseorang lakukan untuk menyampaikan ilmu.
Pembelajaran adalah suatu usaha yang sengaja melibatkan dan menggunakan
pengetahuan profesional yang dimiliki guru untuk mencapai tujuan kurikulum.
Sebenarnya
belajar dapat terjadi tanpa pembelajaran namun hasil belajar akan nampak jelas
dari suatu pembelajaran.
C) MOTIVASI
DALAM PEMBELAJARAN
Dalam pembelajaran,
kebanyakan tingkahlaku manusia boleh dibentuk dengan cara menggunakan
skema-skema peneguhan, sama ada peneguhan positif atau negatif. Peneguhan ini
pula boleh dilakukan secara berterusan atau secara berjadual, iaitu berkala.
Teori Beck (1983) yang juga dikenali sebagai Teori Peneguhan menyatakan bahawa
motivasi juga harus melibatkan faktor peneguhan, terutama sekali pemberian
ganjaran sebaik sahaja selepas sesuatu yang baik serta produktif dilaksanakan.
Ganjaran ini akan dilihat sebagai satu bentuk insentif bagi melaksanakan
sesuatu tingkahlaku itu.
Peneguhan positif ialah stimulus atau peristiwa yang menyebabkan
kemajuan dalam pembelajaran ataupun perubahan kelakuan positif. Peneguhan ini
lazimnya menggembirakan dan dipanggil sebagai ganjaran. Peneguhan negatif
adalah stimulus atau peristiwa yang juga menyebabkan kemajuan dalam suatu
tingkahlaku tetapi untuk mengelak daripada berlaku sesuatu yang tidak
dikehendaki. Contonya, seorang pemandu mematuhi arahan hadlaju jalanraya kerana
tidak mahu disaman. Saman di
sini merupakan peneguhan negatif. Antara jenis peneguhan, terdapat peneguhan
utama dan peneguhan sekunder. Peneguhan utama terdiri daripada benda ataupun
peristiwa yang memberi kesan langsung kepada kelakuan seseorang dan tidak
bergantung pada pembelajaran bagi kuasa peneguhan. Contohnya, gula-gula dan mainan. Sekiranya kanak-kanak diberikan
gula-gula apabila dia berkelakuan baik akan terus berkelakuan baik kerana
mereka tahu mereka akan mendapat ganjaran itu. Peneguhan utama ini diberikan
kepada pelajar kerana mereka belum tahu cara bertindak apabila mendapat
peneguhan sekunder. Peneguhan sekunder ialah stimulus atau peristiwa yang
memperkukuhkan sesuatu respons melalui pembelajaran. Peneguhan
ini selalunya bersifat linguistik ataupun sosial. Contohnya pujian daripada guru, perhatian guru, markah, senyuman
daripada guru ataupun apa-apa isyarat pengiktirafan daripada guru.
Jenis-Jenis Motivasi
Motivasi berpunca
dari dalam ataupun dari luar diri seseorang. Dalam pembelajaran, guru perlu
tahu sama ada pelajarnya cenderung kearah motivasi yang timbul dari dalam
ataupun dari luar diri mereka. Ini perlu supaya guru dapat bertindak dengan
sewajarnya bagi memberikan rangsangan kepada pelajarnya supaya berusaha.
Motivasi yang berpunca dari dalam diri iaitu yang didorong oleh faktor kepuasan
dan ingin tahu disebut ‘motivasi intrinsik’. Motivasi yang berpunca dari luar
iaitu apabila kita buat sesuatu bagi mendapatkan ganjaran adalah ‘motivasi
ekstrinsik’
Motivasi Ekstrinsik
Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan
tujuan menggerakkan individu supaya melakukan sesuatu aktiviti yang membawa
faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik ini dapat dirangsang dalam bentuk-bentuk
seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim
persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Contohnya, pujian
yang diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar kerana kerjanya yang baik
akan menyebabkan daya usaha pelajar itu
meningkat. Peneguhan adalah suatu motivasi ekstrinsik yang boleh memberi kesan
kepada tingkahlaku seseorang pelajar.
Di dalam kelas, guru perlu tahu jenis peneguhan yang hendak
diberikan dan sekerap mana ia perlu diberikan. Ada peneguhan yang dapat diberikan dengan
kerap, contohnya pujian sokongan ataupun pujukan. Menurut Kazdin(1984),
peneguhan lebih berkesan sekiranya diberikan dengan kerap pada peringkat
pembelajaran baru. Oleh itu, semasa pelajar mula mempelajari sesuatu tugasan
yang baru, mereka sebaik-baiknya diberikan pujian dan sokongan dengan kerap. Hukuman
ataupun deraan adalah suatu bentuk peneguhan negatif dan ia sebaik-baiknya
tidak diberikan. Hukuman lazimnya digunakan oleh guru bagi menghapuskan
kelakuan pelajar yang tidak baik. Hukuman ini mungkin sebagai kerja tambahan, kelas tahanan, deraan fizikal
dan pelbagai jenis hukuman lagi. Guru juga menggunakan sindiran, kemarahan dan
kritikan bagi mengawal kelakuan pelajar. Hampir semua jenis hukuman memberikan
kesan buruk kepada pelajar. Oleh itu, peneguhan jenis ini lebih baik dielakkan.
Hukuman boleh diberikan sekiranya jenis hukuman itu dibenarkan oleh pihak
sekolah, Jabatan Pendidikan ataupun Kementerian Pendidikan.
Motivasi intrinsik
Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan
dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu
aktiviti tanpa mengharap ataupun meminta ganjaran. Sebagaimana yang sudah
dibincangkan, Bruner (1966) mengaitkan motivasi intrinsik ini dengan naluri
ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan bagi murid yang baru masuk sekolah.
Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi.
Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk daripada pembelajaran dan pengalaman
yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat
muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan
pengalamannya. Harter (1981)
mengenal pasti lima dimensi kecenderungan motivasi intrinsik dalam bidang
pembelajaran. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja bagi
memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas,
penilaian yang bebas berkenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan
kriteria dalaman untuk kejayaan.
Pelajar yang lebih cenderung ke arah
motivasi intrinsik sukakan pekerjaan yang mencabarkan. Mereka mempunyai
insentif yang lebih untuk bekerja bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri
daripada mengambil hati guru bagi mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka
mencuba mengatasi masalah dengan sendiri daripada bergantung pada bantuan
ataupun bimbingan guru. Mereka juga menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat
dan taraf penilaian yang membolehkan mereka membuat penilaian bebas berkenaan
kejayaan ataupun kegagalan mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru
bagi mendapat maklumat ataupun penilaian.
Menurut Deci (1975), motivasi intrinsik
dapat diterangkan sebagai suatu keadaan psikologi yang diakibatkan apabila
individu menganggap diri mereka berkebolehan dan dapat menentukan sesuatu
dengan sendiri. Seseorang itu mengalami motivasi intrinsik yang tinggi
sekiranya dapat melakukan sesuatu yang digemari seperti memandu kereta, melawat
tempat-tempat yang disukai, memilih tempat penginapan dan memilih makanan yang
diidamkan. Sekiranya dia diberikan hadiah seperti lawatan ke tempat-tempat yang
ditentukan oleh badan penganjur, tempat penginapan dan jenis makanan juga
ditentukan oleh pihak itu, dia tidak mendapat peluang hendak menentukan
segala-galanya sendiri. Oleh itu, motivasi intrinsiknya menjadi terlalu rendah.
Guru yang mahu meningkatkan motivasi
intrinsik pelajar dalam bidang akademik perlu mewujudkan suasana akademik yang
memberi peluang kepada pelajar mengawal. Guru juga perlu menentukan pelajar itu
dapat melakukannya dengan cemerlang dalam keadaan itu. Walau bagaimanapun,
perlu ditentukan terlebih dahulu yang pelajar itu mempunyai persepsi yang diri
mereka berkebolehan. Sekiranya mereka tidak mempunyai persepsi seperti itu,
peluang-peluang yang diberikan bagi mengawal tidak akan digunakan dengan
sempurna.
Faktor-faktor yang
Mempengaruhi Motivasi Intrinsik
i) Persepsi Kebolehan
Seseorang itu membentuk kebolehan yang dipersepsi daripada penilaian
berkenaan kebolehannya oleh orang lain. Kebolehan yang dipersepsi daripada
penilaian berkenaan kebolehannya yang sebenar. Semakin tinggi pencapaian
seseorang pelajar, semakin besar kemungkinan pelajar itu menilai dirinya
sebagai berkebolehan. Kebolehan yang dipersepsi ini mempengaruhi bagaimana
pelajar itu rasa berkenaan dirinya. Pelajar yang mempunyai kebolehan yang
dipersepsi yang tinggi kemungkinan besar mempunyai keyakinan diri sendiri.
Pelajar ini sukakan cabaran, mempunyai sifat ingin tahu dan bertindak bebas
bagi mencapai kemahiran.
ii) Persepsi kawalan
Menurut Cole dan Chan (1987), pendapat pelajar berkenaan punca
kawalan iaitu sebab-sebab kejayaan dan kegagalan adalah persepsi kawalan.
Kajian-kajian yang dijalankan oleh Harter (1981), Nicholls (1984) dan Weiner
(1984) menunjukkan, pelajar menyatakan kejayaan dan kegagalan mereka di sekolah
disebabkan oleh punca-punca dalaman yang dapat dikawal seperti usaha sendiri
dan berupaya berusaha dalam keadaan sebenar.
iii) Perasaan dalam pembelajaran
Perasaan merangkumi sikap, nilai, minat dan pilihan yang ditunjukkan
oleh individu pada sesuatu benda, perkara ataupun orang. Di sekolah, perasaan
yang ditunjukkan oleh pelajar berkait dengan mata pelajaran yang dipelajari,
guru dan sekolah. Seseorang
pelajar mungkin mempunyai perasaan positif pada sesuatu mata pelajaran. Dia
lebih sukakan mata pelajaran ini daripada mata pelajaran lain. Dia akan berusaha dengan giat bagi
mendapatkan gred yang tinggi bagi mata pelajaran ini. Gred yang baik akan
meyakinkannya yang dia betul-betul berkebolehan dalam bidang itu. Di sini,
dapat dikatakan yang perasaan pelajar pada sesuatu mata pelajaran mempengaruhi
pencapaiannya dan pencapaian ini mempengaruhi motivasinya.
Kelakuan dan tugasan individu dipengaruhi
oleh kebolehan dan caranya mengawal keadaan. Konsep kendiri positif memberi
keyakinan kepada individu yang dia mampu melakukan sesuatu tugasan. Selain itu,
individu dapat menentukan sendiri tugasannya. Dia akan melibatkan diri dalam
tugasan itu dan juga matlamat yang mendatangkan kejayaan kepadanya. Individu
hanya akan mempunyai konsep kendiri yang dia berkebolehan dan dapat mengawal
usahanya sekiranya dia mempunyai motivasi intrinsik untuk berusaha tinggi.
Terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan bagi membantu pelajar dalam
mempertingkatkan motivasi intrinsik mereka. Ramalan keadaan Rothaum, Weisz dan
Synder (1982) berpendapat, cara bagi memper-tingkatkan persepsi diri pelajar
pada kebolehan dan kawalan usaha adalah dengan mewujudkan keadaan yang dapat
diramalkan bagi membolehkan mereka belajar.
Tingkah laku produktif wujud sekiranya
keadaan dapat diramal. Bandura (1986) pula mengatakan, individu mengalami
ketegangan sekiranya dia bekerja dalam suasana yang dia tidak dapat mengawalnya
dan dia tidak mempunyai kebolehan. Ini mendatangkan dua implikasi. Pertama, dia mungkin menarik diri iaitu
tidak melakukan tugasannya. Kedua,
dia mungkin menjadi terlalu bergantung pada orang lain dalam melakukan tugasannya.
Guru dapat memainkan peranan dalam mengurangkan ataupun menangani ketegangan
ini. Contohnya, dengan menganjurkan program orientasi kepada pelajar baru. Ini
dapat mendedahkan mereka kepada situasi baru di sekolah itu.
Minat intrinsik dalam pelajaran dapat
dikekalkan dengan memberi tugasan yang seimbang. Tugasan itu perlu seimbang
iaitu ada soalan yang mudah dan ada soalan yang sukar. Yang penting, persepsi
diri pelajar tidak terjejas. Pelajar perlu melahirkan kebolehan yang baru bagi
mengekalkan motivasi intrinsik.
iv) Bantuan pengajaran
Faktor yang dapat meningkatkan konsep kendiri
pelajar berkenaan kebolehannya adalah kejayaan dalam sesuatu tugasan. Biasanya
pelajar memerlukan bimbingan guru dalam melaksanakan tugasan yang sukar. Guru
biasanya memberitahu pelajar prosedur bagi menyelesaikan tugasannya. Guru
jarang memberi peluang kepada pelajar memikirkan cara tersendiri bagi
memperoleh kejayaan dalam tugasannya. Guru sebaik-baiknya mendedahkan pelajar
kepada kemahiran membuat keputusan sendiri. Biarkan pelajar membuat keputusan
sendiri tetapi dengan bimbingan guru. Ini dapat meningkatkan motivasi intrinsik
pelajar. Cara lain yang dapat dilakukan adalah dengan memberi bantuan
pengajaran kepada mereka. Ini dapat dilaksanakan
melalui tiga cara:
1. Menunjukkan contoh
Guru perlu menunjukkan contoh berkenaan apa yang pelajar perlu
lakukan. Ini lebih baik daripada memberitahu pelajar berkenaan apa yang mereka
perlu buat. Ini membolehkan pelajar menghayati sifat-sifat yang terdapat dalam
contoh itu. Dalam keadaan ini, guru memberi peluang kepada pelajar supaya
berfikir, mengawal usaha dan menentukan bagaimana serta sejauh mana pelajar
bergantung pada contoh-contoh yang diberi.
2. Pembahagian tugas
Strategi ini membolehkan guru memberi tugasan yang mencabar kepada
pelajar. Tugasan dapat dibahagi kepada bahagian-bahagian kecil dan setiap
bahagian dilakukan oleh beberapa orang pelajar. Contohnya, sebelum guru meminta
pelajar mengarang sebuah esei, guru akan meminta pelajar menyediakan rangka
esei. Guru terlebih dahulu membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil
dan setiap kumpulan diberi tugasan kecil seperti bahagian pengenalan, isi-isi
penting dan penutup. Perbincangan
diadakan sebelum setiap pelajar mengarang esei itu secara individu.
3. Berkongsi tugasan
Pendekatan ini hampir sama dengan pendekatan pembahagian tugasan.
Kedua-dua pendekatan ini memerlukan tugasan dibahagi-kan kepada tajuk-tajuk
ataupun bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contohnya, dalam aktiviti
menghasilkan dokumen berkenaan sejarah Malaysia . Tajuk ini dapat
dipecahkan kepada beberapa contoh kecil dan kumpulan kecil pelajar hanya perlu
membuat satu tajuk kecil. Kemudian, maklumat tajuk-tajuk kecil ini digabungkan
bagi menghasilkan satu dokumen yang lengkap.
Kaitan antara Motivasi
Intrinsik dan Motivasi Ekstrinsik
Setiap manusia dapat dimotivasikan secara
intrinsik ataupun ekstrinsik. Individu yang bermotivasi intrinsik mempunyai
dorongan dalaman. Mereka melakukan sesuatu atas kesedaran diri sendiri. Mereka
tidak memerlukan unsur-unsur luar seperti orang lain ataupun peristiwa luar
bagi menggiatkan mereka mencapai sesuatu matlamat. Mereka sendiri menentukan
objektif dan seterusnya mencapai objektif itu.
Deci dan Ryan (1985) berpendapat, manusia
akan bermotivasi intrinsik apabila mereka mempunyai persepsi ataupun konsep
kendiri yang mereka berkebolehan dan mampu membuat keputusan sendiri.
Sebaliknya, orang yang bermotivasi ekstrinsik tidak yakin mereka berkebolehan
ataupun mampu membuat keputusan. Mereka bergantung pada orang lain dalam
membuat keputusan dan melaksanakan tugasan mereka. Kadang-kadang mereka
bekerjasama dengan orang lain yang lebih berkebolehan bagi mendapatkan
kebaikan. Mereka juga kadang-kadang memberontak pada orang yang lebih
berkebolehan.
Seseorang yang tidak mempunyai mempunyai
motivasi intrinsik perlu diberi motivasi ekstrinsik agar lama-kelamaan motivasi
intrinsik akan terbina dalam dirinya dan seseorang yang telah mempunyai
motivasi intrinsik perlu juga diberi motivasi ekstrinsik agar motivasi intrinsik
yang ada terus berkekalan dalam dirinya. Manusia biasanya tidak akan berada
pada satu jenis motivasi sahaja. Kadang kala, individu bermotivasi intrinsik
dan kadang-kadang bermotivasi ekstrinsik. Ini
bergantung pada situasi dan keperluan individu.
Aspek-aspek Diri
Aspek diri penting dalam motivasi dan pembelajaran. Teori motivasi
hari ini memberi penekanan kepada pentingnya peranan diri dalam motivasi dan
pembelajaran kawalan diri. Sekiranya dikaji situasi hari ini, ramai pelajar
meluangkan masa bersendirian. Mereka kurang mendapat bimbingan daripada ibu
bapa ataupun penjaga. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan dalam memberi
perhatian pada pendapat pelajar berkenaan diri mereka. Dickstein (1977)
mengemukakan lima
pendapat berkenaan diri.
Diri yang dinamik
Dinamik yang dimaksudkan di sini adalah diri yang mempunyai kuasa,
kawalan dan perasaan berkenaan agensi peribadi. Diri individu sendiri yang
mempunyai kuasa membuat keputusan berkenaan sesuatu yang akan dilakukan. Selain
itu, dia sendiri yang mengawal diri dan menentukan perasaannya sama ada positif
ataupun negatif.
Diri sebagai objek
Objek yang dimaksudkan adalah objek yang membekalkan pengetahuan dan
penilaian pada diri. Individu memperoleh pengetahuan dan penilaian daripada
dirinya sendiri. Dia adalah objek yang akan memberi pengetahuan kepada dirinya
sendiri. Selain itu, dirinya sendiri adalah objek yang dapat memberi penilaian
berkenaan dirinya sendiri.
Diri sebagai orang yang
mengetahui
Kita sendiri mengetahui dan mengenali diri sendiri melalui refleksi
diri. Manusia mempunyai kebolehan membuat refleksi diri bagi membolehkan mereka
mengetahui dan mengenali diri.
Diri sebagai sesuatu yang
berintegrasi
Diri sebagai sesuatu yang berintegrasi merangkumi segala aspek sifat
dan potensi individu melalui pengalaman hidup.
Diri yang tidak memikirkan
diri sendiri
Diri yang tidak memikirkan diri sendiri dianggap sebagai satu
kejayaan dalam perubahan dan keadilan. Diri di sini adalah orang yang
berpengaruh dan berkebolehan menyelesaikan perbalahan antara dua pihak.
PANDUAN GURU : 12 PENDEKATAN MEMOTIVASIKAN PELAJAR
1. Penerangan Yang Jelas
Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja
rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan. Guru
sepatutnya memberikan sedikit masa untuk menjelaskan perkara berikut :
a. Kenapa tugasan yang diberikan itu
penting?
b. Apa
kaitan sesuatu subjek dengan kehidupan?
c. Memastikan
pengetahuan asas mereka mantap.
d. Beritahu bagaimana hasil kerja mereka
akan dinilai.
2. Ganjaran
Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman
yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk
ganjaran. Lihat apa kebaikan
dan kelebihan pelajar dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan ini di
lain masa. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah,
puji-pujian, pelepasan dari tugas harian dan sebagainya.
3. Tetapkan Matlamat
Setiap pelajar mestilah disuruh menetapkan
matlamat untuk setiap mata pelajaran yang diambil. Ikuti perkembangan pelajar
dan pastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing.
4. Ambil Berat
Pelajar akan memberikan tindakbalas yang
positif terhadap guru yang ambil berat tentang diri dan masalah mereka.
Memahami adalah lebih baik dari menghukum. Ada ketikanya guru perlu bercerita kisah
lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan, dan
lain-lain sebagai suatu teladan untuk pelajar. Ini penting untuk mewujudkan
jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggungjawab. Sekiranya
mereka melakukan kesilapan, pastikan mereka faham semua orang boleh lakukan
kesilapan tetapi jelaskan kepada pelajar iaitu manusia yang berjaya ialah yang
belajar dari kesilapan. Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan
mereka? Sejauh mana progress mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan
mereka? Dan sebagainya.
“Pelajar
tidak prihatin sejauh mana anda tahu sehinggalah mereka tahu sejauh mana anda
prihatin terhadap mereka”.
5. Penglibatan Pelajar
Salah satu kunci motivasi diri ialah
penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran. Berdiri di depan kelas dan
memberi syarahan untuk memotivasikan mereka lambat laun tidak akan meninggalkan
sebarang kesan. Rangsang pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seperti
perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah, aktiviti luar, interaksi antara
pelajar dan saling membantu. Pelajar akan lebih bermotivasi apabila mereka berasa diri mereka penting
dan diperlukan. Oleh itu libatkan setiap pelajar dalam pelbagai kerja guru
seperti mencari biografi orang tertentu, menyusun atur bilik darjah, mengangkat
buku dan sebagainya.
6. Penuhi Keperluan Pelajar
Guru mestilah sedar bahawa setiap pelajar
memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan.
Misalnya memberikan peluang pelajar memilih satu dari dua tiga tajuk untuk
disiapkan, atau satu daripada beberapa aktiviti untuk mereka terlibat,
memberikan mereka kuasa memilih. Adakan juga aktiviti pembelajaran yang mereka
rasa seronok kerana bebas menyumbang sebarang idea.
7. Lebihkan Pembelajaran Visual
Berikan penerangan dalam bentuk visual
agar pelajar mampu memahami dan mengingati dengan lebih berkesan. Gunakan
bahasa visual, gambar, lakarann, graf, carta, imej 3D dan sebagainya. Berikan
gambaran jelas dengan peta konsep agar pelajar tahu apa kandungan penting
sesuatu bab dan dapat melihat kaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang
lain dalam bab tersebut. Ini membolehkan pelajar membentuk rangka asas terhadap
satu-satu topic baru dan seterusnya menimbulkan minat dan meningkatkan
pemahaman mereka.
8. Gunakan pelbagai emosi untuk merangsang
pembelajaran dan motivasi
Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap
emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Pelajar akan lebih mudah mengingat
dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi. Pelajar akan lebih
bersedia untuk belajar apabila ada unsure-unsur kepelbagaian emosi kerana
mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan anda
demi menarik minat pelajar terhadap apa yang mahu anda sampaikan. Sebagai guru,
hakikat siapa anda tidak penting. Yang penting ialah siapa mereka 10-15 tahun
yang akan datang.
9. Ajarkan Mereka Strategi dan Teknik
Ajarkan mereka teknik pembelajaran berkesan,
pengurusan masa, kaedah membaca, kaedah mengambil nota dan sebagainya. Tanam dalam
fikiran pelajar bahawa “Belajar Itu
Mudah”. Pecahkan sebarang halangan mental terhadap mata pelajaran akibat
terpengaruh oleh pendapat orang lain. Misalnya ramai pelajar percaya bahawa “Matematik itu susah”.
10. Terima Pelajar Seadanya
Ramai guru yang berkata bahawa mereka lebih
suka sekiranya pelajar mereka semuanya rajin, pandai, gigih, tekun dan
berdisiplin. Mereka tidak sanggup terima kenyataan bahawa tidak semua pelajar
begitu. Mereka memandang pelajar yang bermasalah ini dengan sebelah mata. Pelajar
ini tidak dipedulikan sebab mereka rasa pelajar ini sukar dibentuk. Di snilah
berbezanya antara guru biasa dengan guru cemerlang. Guru cemerlang akan terima
pelajar seadanya dan menjangkakan kejayaan untuk setiap pelajar ini. Hanya dengan memberikan yang terbaik
sahaja maka seorang guru akan berasa puas dengan kariernya. Ramai pelajar gagal
kerana guru telah meramalkan kegagalan mereka.
Guru mesti
sentiasa faham, mengajar bukan sekadar memberikan maklumat dan penerangan
semata-mata. Mereka juga perlu mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran
dan tingkahlaku.
Guru juga perlu berhati-hati dengan ucapan
dan pandangan yang dilontarkan kepada pelajar kerana kesannya sangat besar
dalam hidup pelajar.
Anda hanya ada dua
cara untuk membuatkan anda sentiasa diingati oleh pelajar – sebagai seorang
guru yang disayangi ; atau sebagai seorang guru yang dibenci. Mana-mana guru
yang berada di antara dua kategori ini akan dilupakan. Apa pilihan anda?
11. Berikan Kata Perangsang
Cipta beberapa kata jaya yang menjadi
perangsang kepada pelajar anda. Ulangi kata-kata ini. Lekatkan kata-kata ini dalam kelas supaya ia lazim
dalam pemikiran pelajar.
Contohnya :
“Doing
the best at this moment puts you in the best place for the next moment”
“Nobody
plan to fail but many fail to plan. So, lets plan our work and work our plan”
“Problems
and difficulties give us the chance to become stronger… and better… and
tougher.”
12. Amalkan Prinsip 3F
Iaitu
‘Firm’, ‘Fair’ dan ‘Friendly’ atau Tegas, Saksama dan
Mesra.
1. Memotivasikan diri sendiri adalah tenaga yang
mengangkat diri ke tahap yang diingini.
2. Orang yang benar-benar berjaya sentiasa
sedar tanggungjawabnya dalam memotivasikan diri sendiri. Dia akan memulakan
daripada dirinya sendiri, kerana dialah yang memiliki kunci penggerak dirinya.
3. Mustahil bagi memotivasikan diri orang
lain sebelum kita belajar memotivasikan diri sendiri.
4.
Alasan yang sering menyebabkan
kegagalan seseorang itu adalah kerana mengabaikan tenaga motivasi diri sendiri.
5.
Peluang berada di mana-mana
bagi orang yang mengerti dan menggunakan motivasi diri sendiri.
6.
Orang yang bermotivasi
melibatkan diri sendiri manakala orang biasa hanya berjanji.
7.
Pada asasnya, apa yang kita
peroleh daripada hidup ini bergantung pada bagaimana kita menyesuaikan apa yang
kita mahu dengan motivasi diri sendiri.
8.
Tenaga motivasi diri datang
daripada satu tindakan rancangan peribadi yang teguh dan pelaksanaan rancangan
itu dalam kehidupan setiap hari.
9. Sekiranya kita tidak dapat memanfaatkan tenaga
dan potensi sendiri, mental akan terlantar sepanjang hayat.
KESIMPULAN
Sesuatu matlamat pada satu peringkat yang berjaya dicapai akan
menimbulkan perasaan untuk memenuhi kepuasan pada peringkat yang lebih tinggi.
Oleh itu pendidik harus mengetahui langkah-langkah yang praktikal sejajar
dengan diri seseorang pelajar demi hendak memenuhi kehendak pelajar. Dengan itu
kepuasan belajar dalam keperluan motivasi boleh dicapai seterusnya menanamkan
minat pelajar mengembangkan potensinya.
Jelaslah bahawa keperluan itu mempunyai matlamat yang mesti dicapai
bagi memenuhkan keperluan tersebut. Matlamat ini mempunyai nilai yang tertentu
kepada seseorang mahupun seorang pelajar yang memerlukannya. Teori Hirarki
Maslow tegas memberi konsep bahawa perkembangan individu atau pelajar ini perlu
melalui beberapa tingkat kepuasan atau dengan kata lain proses perkembangan
individu itu merupakan satu usaha yang berterusan dalam persekitaran social
sehingga mencapai kecemerlangan.
Oleh itu, bagi meninggikan
atau mempertingkatkan lagi proses pengajaran juga pembelajaran di dalam
kelas, guru seharusnya peka dan bijak menentukan apa keperluan seseorang
pelajar. Dengan menyedari keperluan seseorang pelajar guru dapat mengatur
strategi serta alternatif yang lebih praktikal demi kecemerlangan yang
semaksimumnya.
Sumber : Abd Wahab Zakaria.PGSR 08.IPGKKB
No comments:
Post a Comment