PENDEKATAN,STRATEGI,KAEDAH DAN TEKNIK DALAM PENGAJARAN
PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.
(Mohd.Yazid
Deraman, IPG.KKB)
"Kaedah
pengajaran yang saya gunakan adalah betul... tapi hasil yang saya harapkan
masih tidak tercapai."
"Kalau begitu,
adakah teknik-teknik yang kau gunakan itu betul juga"
"Teknik-teknik
yang saya pakai tidak mungkin salah lagi"
"Oh ya! Strategi
pengajaran macam mana pula..."
"Apa itu strategi..."
PENDAHULUAN
Bagi seseorang yang
baru menjejak kakinya dalam arena pengajaran malah ramai guru yang
berpengalaman, konsep pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran
amat sukar dibeza-bezakan. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa
semua istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah
suatu perkara yang harus diberi perhatian yang serius kerana konsep-konsep
tersebut adalah merupakan asas untuk membentuk sesuatu rancangan pelajaran
harian yang sempurna oleh seseorang guru. Penjelasan tentang perhubungan di
antara keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih yang
menjalankan latihan mengajar supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu dapat
diamalkan dalam bilik darjah.
Rencana ringkas ini
bertujuan memberi sedikit sebanyak penjelasan tentang pendekatan, strategi,
kaedah serta teknik pengajaran serta hubungan di antara satu sama lain. Walau
pun difikirkan bahawa konsep-konsep itu merupakan asas dalam perbincangan
pedagogi tetapi kebanyakan pengarang buku pedagogi masih samar-samar tentang
konsep-konsep tersebut.
Untuk menjelaskan
konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan kaedah pengajaran
dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas mengenai
kedua-kedua konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep strategi serta
pendekatan pengajaran. Akhir sekali kita akan mengulas perhubungan kesemua
konsep tersebut dalam situasi pengajaran.
KAEDAH DAN TEKNIK
Sebelum kita
membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan secara
umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau
aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan
yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.
Lantaran itu, jika
kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah memasak
yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita
gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu
juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan
menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi,
sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi.
Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam hutan,
kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan
senapang, memanah, menjerat, menikam atau menombak.
Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah
menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang
khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah
dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu, bolehlah kita menyatakan bahawa
semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik.
Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu
sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali,
suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah
panas di kuali. Api juga harus dikawal supaya tidak terlalu panas. Kesemua
tindakan yang spesifik ini adalah disebut sebagai teknik menggoreng.
Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang pula adalah amat
berbeza.
Untuk menjelaskan lagi
hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh memburu harimau. Kalau
kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah maka teknik-tekniknya
adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu panah, gerakan
tangan untuk membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan menarik nafas.
Dalam zama atom ini,
sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah memanah tidak begitu
berkesan. Jadi walau pun seorang pemanah itu betul-betul mahir dan telah
menguasai segala teknik memanah dengan seratus perstus, maka kemungkinan
besar ia dimakan oleh harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang dipilih
adalah kurang sesuai walaupun teknik-teknik kaedah itu adalah baik.
Oleh itu, untuk menjayakan
sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai dengan
teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai
teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan
tercapainya matlamat kaedah yang diingini.
KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN
Kaedah pengajaran
adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan
yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang
untuk menghasilkan perubahan tindkah laku yang agak kekal dalam diri
seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti
cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan
masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau
Socratik dan lain-lain lagi.
Teknik-teknik
pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam
sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik
yang ada apda sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan
tidak berhasil.
Misalnya katakanlah
seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu tajuk
pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara,
penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerrakan
tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa
aktiviti bercerita itu berlangsung.
Kaedah mengajar
seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik
syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan, bahasa
yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal
soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi.
Satu lagi contoh
kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah
soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti
soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi
masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk
menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid,
suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan
sebagainya.
Jadi jika kita hendak
mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang sesuai.
Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan.
Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian,
untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai
teknik-teknik demostrasi.
Sebagai kesimpulan,
bila kita sebut teknik pengajarankita mesti bertanya teknik pengajaran untuk
kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai teknik-teknik yang
tertentu.
PENDEKATAN
Pendekatan biasanya
dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu
sasaran. Dalam pengertianyang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi
"to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk
melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan
teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan
memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti pendekatan Timur atau
pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan ditegaskan
pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan
seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa
seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau
ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan
dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai
prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.
Suatu lagi contoh
tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam belajar
bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau pendekatan
konvensyenal (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan
profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip
sains yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensyenal,
kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan
informal serta dengan pemerhatian.
PENDEKATAN PENGAJARAN
Pendekatan pengajaran
merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan
proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa
mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud
berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi
perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan meyerupai
klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan
kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran.
Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan
murid, cara-cra fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar,
pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.
Pendekatan pengajaran
yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu,
pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas
bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh
tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas
memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.
Berdasarkan kriteria
bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif,
pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke
isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.
Pendekatn yang memberi
tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala
pengajran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan
murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru
adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah
pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid
adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah
perbincangan kumpulan.
Terdapat juga
pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran
mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia
menggunakan perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah
kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan
digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah
sama dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia
digabungkan dan diajar mengikut tema-tema tertentu.
Akhirnya dalam
pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan
komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan
terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan
teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya
jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang
digunakan adlah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori
behavouris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah
pendekatan komunikasi dan situasi.
Rumusan yang boleh
dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia seolah-olahnya
menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk
menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan
oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.
STRATEGI
Strategi boleh diibaratkan
sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai
sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara
optimum. Seseorang panglima tentera harus memikirkan strateginya untuk
mempertahankan kedudukannya atau menyerang kubu musuhnya.
Sebagai contoh,
katakanlah perang tercetus di antara Malaysia dan Singapura. Seorang panglima
Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menyerang dan menawan Singapura
terpaksa merancang strategi peperangannya. Dia harus memikirkan apakah
pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk menyerang pihak musuh. Adakah
kita menggunakan tentera udara atau tentera laut? Adakah kita mengebom
sasaran-sasaran pertahanannya terlebih dahulu sebelu menghantar angkatan
tentera darat diikuti oleh angkatan tentera laut. Susunan serta urutan kaedah
yang dirancangkan mengikut kekangan logistik adalah disebut sebagai strategi
peperangan.
Andaikan kita
menggunakan contoh memasak ikan semula. Kalau kita ingin memasak seekor ikan
yang agak besar (5 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya
kita dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa,
tenaga erta sember yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan
pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak
ikan tersebut. Umpamanya adalah kita menggoreng kepalanya, merebus ekornya,
memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya dalam sup, menjerut telurnya dan
sebagainya. Kaedah manakah yang kita buat terlebih dahulu? Pendekatan timur
atau barat yang patut diikuti untuk memasak? Rancangan yang lengkap ini boleh
disebut sebagai strategi memasak.
Bagaimana dengan
strategi memburu harimau pula? Kita telah membincangkan kaedah-kaedah yang
boleh digunakan untuk memburu harimau. Jadi bagaimanakah rancangan kita untuk
menggabungkan kaedah-kaedah tersebut seupaya harimau itu dapat diburu dengan
mudah. Adakah kita memagar kawasan yang didiami oleh harimau dan menahan
jerat pada kawasan-kawasan tertentu. Apabila harimau telah terjerat, barulah
kita menembaknya. Atau perlukah kita menghadkan makanan harimau untuk melapar
dan meletihkannya kemudian membunuhnya dengan lebing.
Untuk memenangi
sesuatu pertanding badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlu menguasai
segala kaedah untuk menghantar bola tangkis kepada lawannya tetapi a juga
perlu merancangkan strategi permainan itu. Strategi permainan adalah seperti
bermain secara defence pada pemainan pertama untuk meletihkan musuh dan
kemudiannya menyerang dengan secara smash yang kencang pada pemainan kedua.
Adakah dia sengaja bermain sebanyak 3 atau 2 pemainan sahaja. Jika pemain itu
menguasai semua kaedah menghantar bole tangkis dengan sempurna tetapi
strategi permainannya tidak sesuai mana ia akan ditawan. Oleh sebab itu, ada
kalanya pasukan yang mahir dalam semua kaedah permainan dikalahkan sebab
strategi permainan tidak sesuai.
STRATEGI PENGAJARAN
Untuk mencapai
objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan
berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan
pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan
merupakan strategi pengajaran.
Sebagai contoh, untuk
mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus mempertimbangkan
pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu digunakan. Adakah
kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan kecil? Bila kita
menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita gunakan
pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah
pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi
dan kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah
kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi pendekatan
dan kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.
Peranan strategi
pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang
berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang
berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk
mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, dalam bilik
darjah KBSR yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana
serta kumpulang cergas. Guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran yang
terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua
kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta
rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik
darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid. Lantaran itu,
seseorang guru bukan sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah mengajar
tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta
menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang paling
berkesan dalam pengajarannya.
Kita biasanya
mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling baik
sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk
membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu
berlaku. Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian
matlamat pengaajaran. Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan
kaedah-kaedah lain.
KESIMPULAN
Kesimpulan yang boleh
dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan pelbagai
kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum
sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang
paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling
maksimum
|
Tuesday, 13 January 2015
Pendekatan,strategi,kaedah dan teknik pengajaran Pendidikan Jasmani & Kesihatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment