Tuesday 2 October 2012

Pendidikan Jasmani Suaian.


Pendidikan Jasmani Suaian
Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
(Mohd.Yazid Deraman,)
Pensyarah Cemerlang PJK IPG Kota Bharu

Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek penting dalam kurikulum pendidikan formal dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun matapelajaran pendidikan jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan taksonomi jasmani yang tidak disentuh oleh matapelajaran-matapelajaran lain dalam hal berkaitan dengan empat taksonomi penting pendidikan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Tambahan lagi, selain daripada merupakan bidang ilmu itu sendiri, subjek ini menyumbang kepada kecergasan semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan bersenam untuk kesihatan di luar waktu sekolah malah untuk sepanjang hayat.

Dalam konteks hubungan antara pendidikan jasmani dengan pendidikan formal, pendidikan jasmani merupakan penyumbang besar kepada proses asimilasi individu ke dalam masyarakat (de Vries, 1995). Pendidikan formal ialah proses di mana masyarakat, melalui sekolah, universiti dan lain-lain institusi pengajian menurunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkumpul daripada satu generasi ke satu generasi. Sekolah merupakan salah satu institusi pengajian formal. Subjek pendidikan jasmani di sekolah pula dirangkumkan ke dalam kurikulum persekolahan. Pendidikan jasmani merupakan satu bentuk pendidikan formal (de Vries, 1995). Malah, pendidikan jasmani dilihat sebagai lebih menyeluruh berbanding dengan subjek lain. Subjek-subjek lain banyak menyentuh aspek kognitif (intelektual), sedikit ruang untuk aspek rohani (afektif) dan hampir tiada ruang untuk aspek psikomotor dan fizikal. Aspek-aspek yang dinyatakan adalah amat penting kepada golongan berkeperluan khas kerana sebahagian pelajar mengalami masalah fizikal seperti pertumbuhan otot dan deria yang tidak sempurna. Aktiviti jasmani yang disesuaikan dengan keupayaan pelajar berkeperluan khas boleh membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah yang dihadapi (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1989). Masalah kecacatan fizikal tidak boleh dipulihkan dengan rawatan perubatan sahaja tetapi pakar perubatan telah memperkenalkan program terapi fisio yang dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan individu dengan lebih berkesan (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1998). Oleh yang demikain pengajaran pendidikan jasmani suaian untuk pelajar khas yang dirancang dengan baik dan bersesuaian akan dapat memenuhi falsafah kurikulum bersepadu yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia.

Aktiviti jasmani suaian untuk golongan khas kurang diberikan perhatian pada masakini. Malah, jika dilihat daripada skop yang lebih luas, pendidikan jasmani suaian untuk golongan khas adalah lebih kritikal daripada golongan normal.Di Malaysia tidak banyak tempat-tempat yang disediakan sesuai untuk memberi peluang kepada golongan khas untuk beriadah terutamanya di luar kawasan sekolah khas. Golongan normal mudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, kemudahan dan peralatan sesuatu jenis aktiviti riadah tetapi golongan khas pula sukar mendapat peluang untuk turut serta aktiviti yang dijalankan. Begitu juga dengan aktiviti pendidikan jasmani yang dilaksanakan di sekolah, aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan kepada pelajar berkeperluan khas kurang diberikan perhatian dan mereka mengikuti aktiviti yang kurang sesuai bersama-sama dengan pelajar-pelajar biasa (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1999). Banyak halangan yang dihadapi oleh golongan khas untuk melibatkan aktiviti pendidikan jasmani di sekolah kerana terdapat pelajar-pelajar berkeperluan khas mengalami masalah fizikal yang melibatkan otot, saraf dan pembentukan postur yang kurang sempurna. Contohnya terdapat di kalangan pelajar yang mengalami otot-otot yang kurang sempurna tidak dapat melakukan pergerakan seperti pelajar biasa. Begitu juga yang mengalami masalah deria tidak dapat bergerak sebebas dan sepantas pelajar biasa. Ini akan mengakibatkan mereka merasa rendah diri dan tersisih. Aktiviti pendidikan jasmani yang bersesuaian perlu disediakan untuk melatih dan melazimkan keupayaan mereka ke tahap yang optimum bagi menyediakan mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Selain daripada itu aktiviti pendidikan jasmani suaian juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini.

Masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani kepada pelajar-pelajar khas yang disuarakan oleh guru-guru di sekolah percantuman dan sekolah khas adalah seperti berikut:

i. kekurangan guru pendidikan jasmani yang berkelayakan

ii. jumlah pelajar yang terlalu ramai untuk pengajaran yang kondusif
iii. peralatan yang tidak sesuai bagi pelajar khas
iv. pelajar khas yang dipinggirkan oleh pelajar normal
v. cuaca yang panas dan tidak kondusif kepada pelajar khas
vi. masalah fizikal bagi pelajar-pelajar khas
vii. kurang upaya yang berbeza-beza pelajar-pelajar khas
viii. tingkah laku pelajar khas kerana terdapat mereka yang agresif
ix. masalah komunikasi antara guru biasa dengan pelajar khas, pelajar khas dan pelajar normal.

Faktor-faktor tersebut merupakan beberapa halangan yang menyebabkan kesukaran untuk menjalankan aktiviti pendidikan jasmani atau walau pun guru-guru menyedari pentingnya aktiviti ini kepada pelajar khas. Kadang-kadang aktiviti ini tidak dapat dijalankan langsung kerana faktor-faktur keselamatan kawasan atau peralatan yang hendak digunakan tidak bersesuaian dan boleh membahayakan pelajar sekiranya digunakan.


Pendidikan jasmani yang dilaksanakan secara tidak terancang dan sesuai untuk sesuatu kategori keperluan khas tidak membawa sebarang kesan yang positif kepada perkembangan fizikal, emosi dan mental. Kategori kesihatan yang paling utama untuk pelajar yang mempunyai kekurangan upaya secara fizikal yang melibatkan aspek kesihatan ialah apabila kekurangan-kekurangan itu sendiri boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan individu tadi secara timbal balik (Heller, 2000). Aktiviti fizikal terancang menjadi lebih penting kerana banyak kecacatan yang dialami oleh pelajar khas seperti kekejangan otot menyebabkan mereka sukar untuk melakukan sesuatu pergerakan dan menghadkan pergerakan (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1989). Otot-otot yang kurang sempurna ini sepatutnya perlu dilatih dan dilazimkan ke tahap yang melebihi optimum bagi membantu mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Aktiviti pergerakan dalam pendidikan jasmani boleh membantu mengurangkan atau mengendurkan ketengangan yang dialami. Selain itu aktiviti pendidikan jasmani juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini. Tanpa aktiviti fizikal yang direka khas dan diubah suai juga adalah meyukarkan untuk golongan khas ini berpeluang bermain dengan adil, bermain bersama rakan-rakan yang mempunyai kekurangan yang sama, persekitaran kawasan yang sesuai dan selamat; dan peralatan yang khas yang diperlukan untuk tujuan beriadah.

Guru yang mengajar pendidikan jasmani juga perlu mempunyai sikap penyabar dan positif apabila berdepan dengan kanak-kanak khas ini. Tidak kurang penting juga, mereka perlu peka mengenai perbezaan yang terdapat pada anak didik mereka. Contohnya guru yang mempunyai pelajar spina bifida dalam kelasnya perlu membuat perubahan seperti merancang kelas supaya pelajar ini berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal, mengubah suai persekitaran untuk mengegalakkan mobiliti dan pergerakan dan mengelak pergerakan yang boleh mendatangkan rasa kurang selesa dan kesakitan kepada pelajar tadi. Selain itu guru pendidikan jasmani perlu mampu mengenalpasti dengan cepat tanda-tanda dan simptom seperti kulit yang tercedera atau jangkitan urinari. Begitu juga, contohnya, kelas yang mempunyai pelajar sawan. Guru perlu membuat perubahan supaya aktiviti itu tidak terlalu menekan jiwa pelajar. Sebagai langkah berjaga-jaga, guru ini perlu mengingatkan pelajar untuk mengambil medikasi terlebih dahulu dan dengan cepat mengenalpasti tanda-tanda dan simptom distres semasa aktiviti (Heller, 2000; Jansma & French 1994; Pangrazi & Darst, 1994).

Program aktiviti fizikal terancang untuk golongan khas tidak kurang penting seperti juga golongan normal. Faedahnya tidak terhad kepada kesihatan fizikal, tetapi juga merangkumi kesihatan psikologikal, termasuk pembentukan kognitif, sosial, afektif dan moral mereka yang mengikuti program ini. Kesempatan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti memberi peluang kepada pelajar khas untuk merasa seronok dan berguna. Sebagai tambahan, apabila seseorang pelajar itu berjaya menguasai sesuatau kemahiran, pelajar ini akan meningkatkan konsep kendiri (self-concept), penghargaan kendiri (self-esteem) dan keyakinan diri (self-confidence) (Hvozdovic, 2003). Keterangan-keterangan ini sesuai dengan definisi yang diberikan oleh Jansma dan French (1994) yang merujuk pendidikan jasmani suaian sebagai “modifikasi aktiviti fizikal tradisional bagi membolehkan individu kurang upaya berpeluang untuk mengambil bahagian secara selamat, berjaya, dan mendapat kepuasan” (Jansma dan French, 1994).

No comments:

Post a Comment