Monday 2 January 2012

Ciri-ciri Pensyarah Cemerlang di Jabatan PJK IPGKKB

                            Yang Berkesan Dalam Merealisasikan  Pendidikan Cemerlang
Mohd.Yazid Deraman.SMK.
(mydyazid@gmail.com)

                            "If  they aren't learning...then you aren't teaching."
                                                             ~ Anon

Pendahuluan

Antara persoalan yang sering timbul di minda kita, ialah mengapakah berlaku prestasi sebuah IPG itu lebih baik daripada sebuah IPG yang lain? Bagitu juga dibanding antara jabatan  di satu IPG atau antara jabatan dalam IPG yang sama. Apakah pula faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya senario demikian? Atau adakah perbezaan yang wujud itu disebabkan 'nasib' semata atau kurangnya usaha-usaha melakukan perubahan dan penambahbaikan yang berterusan (Kaizen) kerana tidak wujudnya misi (mission), visi (vision), komitmen (committment) atau contoh ikutan (role model), sama ada dari aspek diri individu atau pihak pengurusan IPG yang boleh mencetuskan inspirasi dan halatuju (direction) yang jelas, betul dan tepat.

Ramai orang inginkan kemajuan, peningkatan, kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya apa yang kita namakan sebagai kejayaan. Kejayaan pula berlaku dalam banyak bentuk sama ada kejayaan peribadi, kejayaan organisasi atau pun kejayaan kelompok dan komuniti.

Phillip Van Hooser (1998) mendapati bahawa ada tiga unsur penting dalam menentukan kejayaan. Tiga unsur ini  berkait  rapat antara satu sama lain dan ianya digelar sebagai "Triangle of Success" (yang merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap).

Ilmu Pengetahuan: Apakah pengetahuan? Adakah pengetahuan sahaja sudah cukup? Phillip Van Hooser menyatakan bahawa pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil diploma tahap kesarjaaan, ia juga bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan seseorang itu berada di tempat kerja. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman (understanding). Dalam kepimpinan, kefahaman terhadap apa yang diperlukan dan dijangkakan oleh pengikut-pengikut daripada pemimpin merupakan pengetahuan kerja yang praktikal.

Kemahiran: Pengetahuan dan kemahiran sama-sama penting. Kedua-duanya sangat diperlukan bagi pembangunan kepemimpinan personal. Ringkasnya, kemahiran sama erti dengan aplikasi (application). Kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah 'task' merupakan satu kelebihan kepimpinan yang tidak dapat dipertikaikan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian profesionalisme, ketegaran (decisiveness) dan kesabaran serta kemahiran mendengar.

Sikap: Sikap adalah kunci kepada segalanya. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran yan tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar lagi hebat, tetapi jika tanpa kehendak yang mendorong dan menggerakkan tingkah-laku dan perbuatan maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Didapati juga individu-indidvidu yang kurang pengetahuan dan kemahiran tetapi mereka memiliki sikap, kehendak dan dorongan yang cukup kuat dapat mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dengan jayanya.

Cabaran kita ialah secara sedar membuang perasaan berpuas hati (complacency) dan terlalu yakin (overconfidence) sewaktu kita mengembangkan satu atau lebih unsur-unsur di atas.

Kejayaan dan kecemerlangan di IPG KKB terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang warga IPG, pensyarah, kakitangan  dan juga pentadbir sesebuah IPG itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah pensyarah itu sendiri.

Pensyarah Yanag  Berkesan

Bagaimana dan apakah  ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru atau pensyarah  yang berkesan itu? Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan sebagaimana berikut:
·         Bersikap profesional.
·         Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
·         Kaya ilmu.
·         Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
·         Bermoral teguh.
·         Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
·         Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
·         Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.
·         Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
·         Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
·         Mempastikan situasi 'Pensyarah  Mengajar Pelajar Belajar' wujud di dalam kelas.
·         Berupaya melahirkan 'IPG Berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.
·         Berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik.
·         Berupaya membentuk perwatakan bakal guru dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu).
·         Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.
·         Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi.
·         Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di bilk kuliah.

Kenyataannya adakah semua ciri tersebut telah kita miliki? Atau sekurang-kurangnya sebahagian besarnya telah kita amalkan dalam diri peribadi mahu pun dalam organisasi? Tetapi yang nyata masih ramai atau sebahagian besar dari kita amat kurang memiliki ciri-ciri tersebut. Jadi bagaimana kita hendak melahirkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan seterusnya IPG berwatak dan sekaligus pendidikan cemerlang?

Untuk menjadi pensyarah berkesaan kita perlu berubah. Kita perlu menganjak paradigma, kita perlu melakukan lonjakan quantum dengan merobah dan meruntuh tembok penghalang yang pertama dan utama iaitu Menolak Perubahan (Resist Change). Ken Blanchard, pengarang buku "The One Minute Manager" menyatakan bahawa kita lumrahnya liat dan sukar menerima perubahan. Beliau menyatakan bahawa;
·         Bila memikirkan perubahan kita sering fikirkan perkara-perkara yang kita kena lepaskan, bukan kepada perkara-perkara yang akan kita dapat .
·         Setiap orang mempunyai toleransi yang berbeza terhadap perubahan  kepada mereka yang memiliki tahap toleransi yang tinggi akan ada satu titik di mana perubahan tidak berupaya ditanggungi.
·         Sekali pun perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan perkara-perkara kembali kepada keadaan asalnya.

Mengubah Diri ,Mengubah Sikap

Plato berkat, "Kemenangan yang utama dan pertama ialah menakluki diri." Garfield pula berkata, "Di dunia ini benda-benda tidak berubah, kecuali ada orang yang mengubahnya."

Jelas sekali perubahan tidak terjadi tanpa penggeraknya atau pun penyebabnya, dan perubahan yang paling berat dan paling sukar ialah perubahan diri peribadi. Stephen Covey (1989) dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People" menyatakan ada dua tahap  proses perubahan yang perlu dilalui bagi mencapai status 'orang-orang yang paling berkesan' iaitu tahap 'memenangi peribadi' dan 'memenangi publik'. Tiga tabiat (habit) yang fundamental bagi seseorang memenangi diri peribadi adalah:
·         Jadilah Proaktif (Be Proactive)
·         Mulai dengan yang akhir di dalam minda (Begin with the End in  Mind)
·         Buat dahulu perkara pertama (Put First Things First)
Bagi memenangi publik (dalam hubungan interpersoal) tabiat (habit) yang perlu diamalkan adalah:
·         Fikirkan Menang/Menang (Think Win/Win)
·         Fahami dahulu, kemudian minta difahami (Seek first to understand, and then to be understood)
·         Sinergi (Synergize)
·         Tajamilah mata gergaji (Sharpen the Saw)

Memenangi Peribadi

Dalam hubungan interpersonal kita sentiasa berinteraksi dengan orang-orang di dalam organisasi rasmi kita iaitu di IPG di mana personaliti dan perwatakan memainkan peranan dan pengaruh yang kuat terutama ke atas anak didik kita dan juga rakan sejawatan. Peribadi yang positif  dan kuat mudah memberi kesan dan pengaruh serta dapat menjalin hubungan interpersonal yang baik dan harmonis.

Antara rangsangan (stimulus) dan tindakan (response) terdapat satu ruang di mana kita boleh membuat pilihan. Apa jua tindakbalas/tindakan yang diambil bergantung kepada sedar-diri (self-awareness), imaginasi, hati nurani (conscience) dan keazaman-diri (independent will) setiap individu itu. Oleh itu sebelum berlakunya sebarang tindakbalas, setiap orang mempunyai satu ruang untuk membuat pilihan, dan di ruangan  'kebebasan memilih' inilah pula manusia sebenarnya memiliki 'anugerah istimewa' iaitu sedar-diri ,keadaan setiap orang sedar situasi sekeliling dan juga implikasi terhadap tindakbalas yang mungkin diambilnya. Di samping sedar-diri ini manusia juga dianugerahkan imaginasi kebolehan menjana sesuatu di dalam minda yang melangkaui realiti semasa. Hati nurani (consceince) pula merupakan kesedaran dalaman (suara hati) terhadap salah dan betul, benar dan palsu, terhadap prinsip-prinsip yang mengawal tingkah-laku serta kesedaran wujudnya harmoni antara pemikiran dan tindakan. Akhir sekali ialah satu anugerah kepada 'kemerdekaan' dan keazaman diri satu kebolehan bertindak berdasarkan sedar-diri dan bebas daripada segala bentuk pengaruh.

Ciri kedua  memenangi peribadi ialah 'mulai dengan gambaran akhir di dalam minda' yang bererti setiap kita dapat melihat diri di akhir episod hidup kita sama ada kemajuan dalam kerjaya atau kejayaan peribadi dan keluarga. Ringkasnya apakah kita mahukan 'husnul khatimah' atau pun 'su'ul khatimah'.

Dan ciri ketiga ialah buat dahulu perkara pertama  (Put First Things First) yang maksudnya kita mengamalkan 'pengurusan masa' yang kemas dan sistematik, mengutamakan prioriti tindakan serta tidak suka menanggguh kerja. Insya Allah setelah tiga unsur penting ini kita kuasai maka tidaklah sukar untuk menjadi seorang yang lebih berkesan baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang cemerlang mahupun sebagai seorang ahli organisasi yan boleh menjadi role model kepada orang-orang lain.

Pendidikan Cemerlang di IPG.KKB.

Aristotle berkata, "We are what we repeatedly do. Excellence, then, is not an act, but a habit." Sesungguhnya kecemerlangan bukan terjadi secara begitu sahaja tanpa faktor-faktor yang menggalak dan merangsang setiap pensyarah dan pelajar berusaha  mencapai matlamat dan kepuasan kendiri yang tinggi setelah bekerja keras, berkorban masa dan tenaga yang bukan sedikit.

Oleh itu Jabatan PJK dan pensyarah perlu pertamanya melakukan sesuatu bagi menghapuskan atau mengurangkan faktor-faktor dalaman  yang menyekat kemajuan pelajaran pelajarnya. Usaha-usaha memperbaiki kemajuan dan sekaligus kecemerlangan pendidikan di IPG mestilah berfokuskan pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik kuliah. Semua ini perlukan perubahan sikap dan kepercayaan para pensyarah (termasuk pelajar-pelajar).

Hussein Mahmood (1993) dalam bukunya "Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah" berkata;

      "Walau bagaimanapun , di peringkat sekolah pada keseluruhannya,
        seluruh cara hidup atau cara bekerja - yang dikatakan budaya
        sekolah serta sistem-sistem tertentu yang menghalang kejayaan
        sekolah perlu dikaji semula dan diperbetulkan segera. Jika tidak,
        segala apa juga usaha untuk memajukan sekolah, kemungkinan
        matlamat yang sepatutnya dicapai tidak dicapai."

Pendapat Hussien Mahmood dalam usaha untuk memajukan sekolah,perbandingan dengan memajukan IPG, hendaklah berfokuskan;
a.       Pencapaian matlamat IPGKKB, iaitu pengetahuan dan pencapaian akademik para pelajar;
b.      Penyelesaian punca-punca masalah yang menyebabkan keadaan IPG demikian;
c.       Membentuk atau mewujdukan budaya baru bagi menggantikan budaya yang sedia ada  melalui (b) atau memperkukuhkan budaya yang didapati produktif
d.      Menggerakkan segala tenaga di IPG dan di luar IPG ke arah pencapaian matlamat-matlamat IPG melalui kepemimpinan Ketua Jabatan/Pengarah.

Saya berpendapat , dalam Satu Penilaian dan Cadangan Pembaharuan  faktor-faktor berikut sebagai penghalang kepada peningkatandan kemajuan  dan dengan itu mistilah dibasmi dan dielakkan:
·         Visi bersama tidak dijelaskan dan tidak dihayati oleh setiap anggota;
·         Mesyuarat/perbincangan mengenai strategi yang terlalu kurang;
·         Sikap tidak cakna;
·         Anggota yang masih tidak mahu berubah dari 'zon selesa';
·         Cepat berpuas hati atau puas hati yang melampau;
·         Pemimpin organisasi tidak terlibat dan tidak ikut serta untuk membuat perubahan;
·         Tiada usaha yang lebih atau tiada pengorbanan;
·         Terlalu cepat mengisytiharkan kemenangan;
·         Tiada kemenangan jangka pendek yang boleh dirayakan atau dibanggakan oleh organisasi menyebabkan hilang momentum untuk berubah dan anggota yang kecewa akan memasuki kumpulan yang menolak perubahan.

Menempa Kejayaan di IPG.

Pendidikan hari ini bukan sahaja menuntut para pensyarah menyempurnakan tugas dan tanggunjgjawab mereka dalam mempastikan setiap anak didik menguasai ilmu, malah menguasai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru. Oleh itu tugas dan tanggungjawab serta komitmen pensyarah juga haruslah bertambah dan meningkat  dari sebelumnya dan ini sudah tentu memerlukan satu sikap baru dan 'pandangan baru' dalam menempa kecemerlangan pendidikan secara keseluruhannya.

Untuk mencapai matlamat ini pensyarah mestilah mempunyai kesedaran diri yang tinggi bahawa apa jua faktor yang memghalang hendaklah dibanteras  di samping membuat perubahan pendekatan, strategi dan teknik serta secara berfikir yang positif.

Salah satu aspek penting menempa kejayaan ialah pendekatan positif terhadap disiplin  dalam hubungan meningkatkan mutu kerja, mutu pengajaran dan pembelajaran, dan akhirnya mutu output iaitu pencapaian anak didik di dalam penilaian dan peperiksaan.

Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle (1989) menyebut bahawa "The positive approach to discipline focuses 20% on what went wrong, and 80% on what could be different next time."

Yang demikian kita seharusnya menumpukan lebih perhatian dan tenaga kepada aspek "next time" ini dan sekaligus menghapuskan segala amalan, tabiat dan tingkah-laku negatif yang merugikan semua orang. Satu daripada pendekatan dan konsep yang boleh diamalkan ialah Shewhart Cycle atau lebih dikenali sebagai P.D.C.A (yakni Plan - Do - Check - Act).

Plan (Rancang) : Semua aktiviti  mestilah dirancang dengan rapi. Elakkan sekali-kali mentaliti ad-hoc, buat sesuatu secara tangkap muat, atau ikut sahaja kerana ramai orang lain buat begitu.

Do (Buat) : Semua yang telah dirancang  mesti dilaksanakan sepenuhnya. Inilah aspek paling penting dan kritikal kerana pada peringkat inilah yang menentukan kejayaan setiap perancangan itu. Apa makna dan apa gunanya jika perancangan tinggal perancangan sahaja? Soal balik diri sendiri apakah perancangan yang kita buat telah semuanya dilaksanakanjika belum atau tidak pernah merancang dan buat kerja ikut terlintas, inilah puncanya mengapa kita begitu sukar mengatasi kelemahan dan kemerosotan.

Check (Semak) : Semakan amat penting kerana setiap perancangan dan pelaksanaan perlukan; penilaian bagi melihat keberkesanannya atau pun sebab-sebab mengapa ianya tidak mencapai objektif yang ditentukan. Banyak kerja rutin pensyarah kita perlu disemak  dengan teliti .Yang paling berkesan memastikan sistem semakan yang praktikal ialah dengan mewujudkan satu Senarai Semak Komprehensif  yang  melibatkan semua perancangan aktiviti di jabatan dan IPG..

Act (Bertindak) : Setelah semakan dibuat dan jawapannya diketahui sama ada ianya positif atau sebaliknya, tindakan yang amat penting seterusnya ialah mengambil tindakan. Cari puncanya, cari mana silapnya dan cari siapa afritnya (pakar). Adakah puncanya kerana sikap manusia atau sistem dan prosedur atau tidak jelas  bidang tugas? Tindakan seterusnya memastikan tidak berulang lagi perkara-perkara tidak memuaskan ini dan personnel yang terlibat mestilah disedarkan melalui nasihat, teguran, bimbingan dan kaunseling malah amaran dan tindakan selanjutbya sekali pun jika sudah sampai kepada tahap yang serius dan kritikal.
 Budaya Kerja Berkualiti
Bagi membentuk budaya kerja yang berkualiti dalam organisasidi jabatan atau di IPG, beberapa ciri harus diberi perhatian dan menjadi amalan kepada kita ;
i)   Orientasi warga kerja haruslah bergerak di atas landasan yang betul sebagai prasyarat bagi menjayakan budaya kerja cemerlang iaitu mesti ada komitmen, mempunyai kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang.
ii)  Komitmen daripada segala lapisan warga kerja bagi meningkatkan kecemerlangan organisasi adalah dituntut.
iii)  Kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas kehendak organisasi dengan mengetepikan segala kepentingan lain khususnya kepentingan peribadi.
iv) Sesebuah organisasi mewujudkan 'mind-set' yang berorientasikan kecemerlangan supaya warga kerja lebih komited kepada matlamat utama jabatan.
v) Sentiasa menggalakkan warga kerja menghayati serta mempraktikkan amalan-amalan pengurusan yang boleh meningkatkan kecemerlangan organisasi.

PENUTUP

Budaya kerja yang unggul dan cemerlang menjadi asas kepada peningkatan dan kualiti produktiviti   sesebuah organisasi. Pembentukan budaya kerja berkualiti hanya akan tercapai sekiranya warga organisasi  mempraktikkan etika kerja dan sifat integriti yang menyeluruh dan positif.

Penutup

Menjadi pensyarah  berkesan, IPG berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil dicapai. Prasyarat yang utama dan pertama ialah kesediaan dan keanggupan pensyarah itu sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara orang-orang profesional dan yang paling penting menjadi seorang pensyarah yang tidak mudah patah semangat dan tidak teraruh dengan golongan menolak kecermerlangan dan  perubahan.Dengan kehadiran ramai pensyarah baru, kita tidak boleh berundur kebelakang dan berada di belakang.Melonjak keintelektuan dan menjana kepakaran dengan inovasi terkuini boleh meletakan IOGKKB di persaeda persaingan.

Pensyarah yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di jabatan setiap masa dan waktu. Pensyarah yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di IPG, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan.

Orang-orang yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang lain dan keadaan semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi.

Seperti kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut;

                  " Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
                    berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
                    diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
                    itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
                    watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
                    pendidik yang unggul."ٱ

 dan pensyarah di IPG Kota Bharu adalah mereka yang tidak berkecuali sepeti kenyataan di atas, Insyallah  semuaga Tuhan  memberkati semua usaha murni kita. GIGIH, ILTIZAM, CEMERLANG.

 Rujukan

Covey, Stephen R. (1989) The Seven Habits of Highly Effective People. Simon and Schuster, New York.

Fox, John (1998) Back to the Future - Management of Change. Anne Fox & Associates, Australia.

Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

____________ (1999) Program Peningkatan Kurikulum Dan Kemajuan Pendidikan (Edisi Kedua), Satu Penilaian Dan Cadangan pembaharuan. Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Van Hooser, Phillip (1998) Triangle of Success. Van Hooser Associates, Ocala, Florida, USA.


1 comment: