KOMPETENSI
KECERDASAN EMOSI WAJAR DIPERKENALKAN DIKALANGAN PENSYARAH IPG
Oleh
MOHD.YAZID
BIN DERAMAN
Jabatan
Pendidikan Jasmani.
Institut
Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu.
Mengapa
Kompetensi Kecerdasan Emosi?
Menurut ilmuan Psikologi Daniel Goleman, kebolehan
mengenali dan kemampuan mengendalikan emosi adalah salah satu ciri kedewasaan
dan keperibadian matang. Faktor inilah
yang menjadi kayu ukur yang membezakan antara orang dewasa dengan
kanak-kanak. Sebab kebolehan mengenali
dan mengendalikan emosi ini belum mampu dimiliki oleh kanak-kanak. Kerana itu hampir setiap kanak-kanak akan
menunjukkan emosi yang meletup-letup,
marah-marah, menjerit-jerit, tidak mahu dipersalahkan, merasa benar sendiri,
tidak mementingkan perasaan orang lain, sering menangis meraung-raung terutama
di hadapan orang ramai jika keinginannya tidak dipenuhi sebagai tanda yang
mereka belum mampu mengawal dan mengendalikan emosi mereka.
Makanya sesiapa sahaja orang dewasa yang selalu beraksi
seperti yang dilakukan oleh kanak-kanak yang sedemikian dikategorikan sebagai
orang dewasa yang belum cukup matang emosi walaupun usia pelakunya sudah mencapai
separuh abad, memiliki kelulusan tinggi dan memegang jawatan penting dalam
organisasi. Oleh itu adalah sesuatu yang
sangat merbahaya jika kita sebagai pendidik tidak menyedari tahap kedangkalan
kecerdasan emosi (EQ) hingga terus-menerus bangga dengan gelaran, pangkat,
pengetahuan yang dimiliki iaitu yang hanya berbentuk kecerdasan intelek (IQ)
semata-mata.
Menurut Peter Salovey dan John Mayer (Psikologis dari
Universiti Harvard dan New Hampshire di Amerika Syarikat), kemampuan mengenali
dan mengendalikan emosi sendiri itulah yang dinamakan kompetensi kecerdasan
emosi atau EIC (Emotional Intelligence
Competency) (Salovertoley & Mayer, 1990). Menurut kedua-dua pakar ini, orang dewasa
yang tidak dapat mengenali dan mengendalikan emosinya sendiri (termasuk emosi
suka bertengkar, tidak mahu mengalah, mahu menang sendiri, tidak boleh bertoleransi, tidak mahu berunding secara
profesional dan logik, suka menuduh, suka berebut jawatan, suka menyalahkan,
menjatuhkan, memalukan, malah sanggup mengkhianati orang lain) dan adalah
termasuk di kalangan orang-orang yang belum cukup matang kerana memiliki
kecerdasan emosi (EQ) yang rendah.
Perkaitan Antara
EQ dan IQ dan cara meningkatkannya.
Kecerdasan Emosi (EQ) memiliki kemampuan untuk
berkembang, sedangkan IQ tidak bertambah, namun kedua-duanya saling melengkapi
walaupun tidak berjalan secara selari.
Tidak semua individu yang memiliki IQ yang menonjol akan memiliki EQ
yang menonjol juga. Menurut Daniel
Goleman, kecerdasan emosi menjadi daya dorong paling utama kepada IQ untuk
pemiliknya berjaya dalam hidup. Ini
kerana kecekapan emosi mengandungi kemampuan dalam dua perkara. Satu, kemampuan dalam hal mengurus emosi diri
sendiri yang dipanggil kecekapan peribadi dan kedua, adalah kemampuan mengurus
emosi dalam mengekalkan hubungan baik dalam hubungan sosial dengan orang lain
yang dipanggil kecekapan sosial.
Kecekapan peribadi akan menentukan bagaimana kita mengatur diri sendiri
yang mencakup kesedaran diri (self
awareness), pengurusan diri (self
regulation), dan motivasi kendiri (self
motivation). Manakala kecekapan
sosial sangat berperanan ketika kita berhubung dengan orang lain yang mencakup
empati (emphaty) dan keterampilan
sosial (social skill).
Seseorang yangg memiliki kecekapan emosi yang menonjol
akan menampilkan tingkahlaku kerja yang cemerlang, terutama dalam hubungan
dengan orang lain. Dia sentiasa tahu
diri dan sentiasa mampu memimpin dirinya sendiri dalam menyelesaikan
pekerjaannya tanpa perlu pengawasan daripada orang lain. Dia juga mampu membina hubungan baik dan pengelolaan yang profesional dengan orang
lain sama ada dalam urusan rasmi ataupun tidak rasmi.
Seorang pendidik yang memiliki kecekapan emosi yang
profesional akan mampu menjadikan dirinya model yang efektif untuk menggerakkan
organisasi pengajaran dan pembelajarannya serta institusi di mana dia berada ke
arah yang lebih sejahtera dan harmonis.
Mereka akan lebih banyak memberi inspirasi kepada pelajar daripada
sekadar mengarah dan memerintah agar terhasil yang terbaik mengikut kemahuan
mereka tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Ancaman yang menakutkan dalam usaha membina keseimbangan keharmonian dalam pekerjaan dan
di tempat kerja ini ialah bila kita pihak pengurus / pentadbir tidak ada yang
menyedari bahawa EQ mereka terlalu rendah, hinggakan mereka terus bersikap
membanggakan kecerdasan IQ semata-mata tanpa menyedari kepentingan
mempertingkatkan kecerdasan EQ bagi mengimbangi
kecerdasan IQ. Oleh itu, beberapa
langkah diperlukan untuk menseimbangkan antara kesedaran EQ dan IQ bagi
melahirkan insan yang benar-benar seimbang mental dan emosi. Antara langka-langkah yang dapat dilaksanakan
ialah;
Pertama:
Perkenalkan kursus-kursus yang membolehkan peserta
mengenali kekuatan dan kelemahan diri
terutama dalam hubungan dengan dirinya dan hubungan dengan orang lain. Cara ini akan membolehkan peserta menggunakan
rakan-rakan karib mereka sebagai pemberi maklum balas yang ikhlas tentang
tingkah laku sendiri selama ini. Dengan
maklumat daripada maklum balas tersebut, mereka boleh membuat perubahan seperti
mempertahankan dan mempertingkatkan tingkahlaku yang sudah profesional. Manakala perlakuan yang dirasakan kurang baik
dan tidak profesional perlu diubah.
Aktiviti ini boleh dilakukan sepanjang masa.
Kedua:
Dengan cara bergaul dan berinteraksilah dengan orang
ramai yang berbeza latar belakang dan personaliti. Buanglah kebiasaan bergaul dengan orang yang
kita senangi, sepadan, tidak menimbulkan masalah, serta sikap tidak senang
dengan perbezaan pendapat. Dengan cara
begini, kita memberi latihan kepada kecerdasan emosi kita untuk membolehkan
kita berada dengan orang kontra dengan pemikiran, perasaan dalam keadaan
harmoni.
Ketiga:
Belajar setia dan komited terhadap tugas yang mudah
disepakati bersama serta dilakukan dengan konsisten tidak dengan hanya mengurus
diri untuk sekadar puas dengan pencapaian optima, tapi mahu melonjak diri ke
tahap mahu lebih dari biasa (go to extramile).
Keempat:
Kurangkan masa menyibuk dengan urusan orang lain seperti
menyebarkan fitnah dan mengumpat.
Kegemaran ini akan membuang masa, tenaga sia-sia yang sepatutnya dapat
digunakan untuk mengembangkan kecerdasan emosi tersebut. Tambahan pula perlakuan tersebut akan
menjejaskan harga diri sendiri.
Kelima:
Bertingkahlaku asertif (tegas diri) nyatakan yang benar
jika benar dan salah jika salah secara sopan santun, beradab dan beretika. Orang yang bersikap safety player untuk menjaga kedudukan dan keselesaan yang dimiliki,
lalu membiarkan keadaan yang merosakkan terus berlaku, menunjukkan pelakunya
memiliki kekerdilan kecerdasan emosi.
Keenam:
Teruslah beljar sama ada melalui pengalaman seharian,
membaca buku pengembangan diri, mengikuti kuliah formal atau melalui
kursus-kursus yang bersifat soft skill
dan melalui media-media sehingga kita berada dalam zon self-continous improvement.
Ketujuh:
Mendekatkan diri dengan Pencipta dalam bentuk doa,
permohonan dan kesyukuran atas semua nikmat yang sudah dan sedang dinikmati
hingga ke saat ini, dengan rendah hati memohon agar Dia mengubah diri kita
daripada tidak baik kepada baik dan yang baik kepada lebih baik. Orang yang mampu mencapai tahap kesejahteraan
emosi adalah mereka yang taat pada perintah agama dan dekat hubungan dengan
Pencipta atau dengan lain perkataan mereka memilik satu lagi kecerdasan yang
disebut kecerdasan spiritual
(SQ). Orang cemerlang dan sejahtera
adalah mereka yang sekurang-kurangnya memiliki dan mengamalkan ketiga-tiga
kecerdasan utama iaitu kecerdasan Intelek (IQ), kecerdasan Emosi (EQ) dan
kecerdasan Spiritual (SQ) yang
digabungkan secara mantap dan tekal.
Sudahkah Kita
Memiliki Kompetensi Kecerdasan Emosi?
Psikologis Daniel Goleman (1999) mengemukakan lima prasyarat untuk menentukan
seseorang itu sudah memiliki dan mengamalkan kkecerdasan emosi iaitu:
Pertama: Mampu mengenali emosi sendiri
Kedua: Mampu mengelolakan atau mengurus emosi itu sesuai dengan
situasi dan keadaan formal atau tidak formal
Ketiga: Mampu memotivasikan diri dengan emosinya sendiri
Keempat: Mampu mengenali emosi orang lain
Kelima: Mampu membina hubungan baik dengan orang lain
terutama dengan mereka yang berbeza pendapat, sikap dan nilai pegangan dan
falsafah hidup.
Andai kata, kelima-lima prasyarat Goleman ini diacu,
ditekapkan kepada pendidik dan pengurus pendidikan kita disemua peringkat, maka
akan segera tampak bahawa terlalu sedikit daripada kelima-lima prasyarat
tersebut telah benar-benar dikuasai dan digunapakai secara tekal oleh mereka
dalam proses mengurus diri sendiri dan dalam berurusan dengan orang lain
terutama dengan anak didiknya, rakan sekerja malah dengan majikannya
sendiri. Buktinya dapat ditemui dengan
mudah di mana-mana sahaja kita berada.
Malah ada di antara kita yang menggunakan budaya marah-marah, kecewa dan
putus asa, suka bertengkar dan bergaduh sebagai budaya harian di rumah atau di
tempat kerja untuk mencapai tujuan.
Hinggakan kita berada dalam keadaan beremosi marah-marah dan kecewa itu
jauh lebih dominan dan dalam tempoh yang panjang dibandingkan dengan kita
berada dalam emosi lembut, mesra, hormat
menghomati, tolak ansur dan bekerjasama, peka dengan perasaan orang lain, suka
bekerja dalam pasukan, menjauhi konflik.
Berdasarkan gambaran di atas, maka amat wajar kompetensi
emosi ini didedahkan kepada pendidik di semua peringkat terutamanya di sekolah
dan IPT bagi mempertingkatkan keberkesanan kemairan pedagogi yng digunapakai
dalam proses pengajaran dan pembelajaaran dan dalam pengurusan pendidikan kerna
pada dasarnya kompetensi kecerdasan emosi dapat mengubah paradigmaa pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah, dapat memperluaskan isi dari kurikulum dan
dapat memodifikasikan hubungan kehidupan harian di sekolah.
Kekangan
Melaksanakan Pendidikan Kecerdasan Emosi
Ramai pendidik berpendapat bahawa tugas mendidik emosi
pelajar adalah tanggungjawab ibu bapa, namun desakan hidup yang mencabar dan
menjurus kepada desakan mencari kemewahan material ternyata institusi keluarga
bukanlah satu-satunya tempat yang ideal bagi anak-anak untuk mendapatkan
kompetensi kecerdasan emosi. Hal ini
sudah dibuktikaan di negara maju.
Kemajuan yang dialami menjadikan ibu bapa yang juga sekali gus bekerjaya
telah menjadi satu daripada penghambat kepada hubungan ibu bapa dan anak-anak
terutamanya dari segi komunikasi dan perkongsian waktu senggang.
Penghambat kedua kepada tahap penguasaan pendidikan emosi
dalam keluarga ialah terhadnya keupayaan ibu bapa dalam bidang ini dari segi
pengetahuan, kemahiran, kefahaman dan kesedaran ibu bapa berhubung dengan
kepentingan kemahiran kecerdasan emosi.
Keadaan ini ditambah buruk lagi apabila anak-anak sibuk menghabiskan
masa belajar dan aktiviti ko-kurikulum di sekolah daripada di rumah hinggakan
interaksi yang bermakna sulit untuk berlaku antara ibu bapa dan anak-anak. Keadaan ini menipiskan lagi kesempatan untuk
pendidikan kecerdasan emosi berlaku secara mantap dan berkualiti dalam
keluarga. Sedangkan menurut kajian di
negara maju, menunjukkan sebaik-baiknya asas pembelajaran kecerdasan emosi
harus berlaku seawal di usia tadika hingga anak mencapai usia baligh. Pada usia penting ini, rumah dan sekolah
adalah tempat terbesar bagi anak-anak melaksanakan kegiatan mereka.
Namun sayang, kita melihat terdapat semacam percanggahan
antara keperluan membina keperluan murid dari segi emosi dengan kemahuan
kurikulum yang berfokus utama membentuk minda dan sangat kurang memberi ruang
untuk menata emosi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sekolah lebih banyak memberi tumpuan pada
usaha yang berhubungan dengan kemampuan fizik pelajar seperti membaca, menulis
matematik dan sebagainya. Keadaan ini
diburukkan lagi oleh keadaan guru yang masih kurang atau belum mendapat latihan
yang secukupnya berhubung dengan kompetensi kecerdasan emosi untuk dirinya dan pelajar. Sedangkan kompetensi kecerdasan emosi dalam
belajar biasanya dikaitkan dengan proses membentuk kestabilan emosi untuk
membina sikap tekun, konsentrasi, tenang, teliti dan sabar dalam memahami isi
pelajaran yang dipelajarinya.
Bukti keperluan pendidikan ini dapat dilihat dari keluhan
para guru yang rata-rata mengatakan sikap pelajar sangat sulit diatur dan
difahami semosinya dan terlalu sukar untuk membimbing mereka untuk membuat
tumpuan, tekun dan tenang semasa pengajaran berlangsung serta sukar membantu
pelajar untuk memahami bahan yang diajar.
Bagaimana
Menerapkan Kecerdasan Emosi Di Sekolah?
Usaha menerapkan kecerdasan emosi pada lingkungan sekolah
boleh merupakan suatu perubahan yang agak radikal kerana ia melibatkan
perubahan kurikulum dan memerlukan sokongan pihak guru, pelajar dan ibu bapa.
Namun menurut Goleman, pendidikan kecerdasan emosi boleh dimulakan dalam
pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti yang berikut:
Aktiviti
mengenal diri sendiri
Hasil daripada aktiviti ini akan membantu peserta
mengenal perasaan yang timbul serta penyebabnya, serta dapat membantu mereka
mengetahui hubungkait antara tiga perkara yang berbeza iaitu pemikiran,
perasaan dan perbuatan. Fikiran boleh menyebabkan timbulnya perasaan dan
perasaan mendasari sesuatu perbuatan.
Aktiviti
menyelesaikan konflik
Menyelesaikan masalah tanpa masalah bukanlah perkara
mudah. Proses ini memerlukan kesedaran
mekanisma sebab musabab masalah itu terjadi dan sehingga dapat memilih
cara-cara penyelesaian yang tepat.
Biasanya orang yang terjebak dalam konflik terkunci oleh lingkaran
emosinya sendiri. Satu hal yang harus
dihindari dalam aktiviti ini adalah pemikiran negatif diri sendiri. Penemuan cara pennyelesaian daripada
satu-satu masalah tersebut akan dapat mendorong pelajar untuk mengarah diri
sendiri secara positif disaat emosi menurun seperti marah, takut, cemas dan
sedih.
Aktiviti Membina
Empati
Untuk membina kesedaran untuk memahami kehendak
lingkunga, persekitaran ke dalam diri pelajar harus dimulai dengan melibatkan
diri mereka dengan aktiviti membina kesedaran untuk memahami orang yang ada di
persekitaran mereka terlebih dahulu.
Maka aktiviti mendengar segala keluhan kawan-kawan tanpa terbawa-bawa
emosi sendiri boleh digunakan. Pelajar
diharapkan mampu membezakan antara perbuatan dan perkataan orang lain dengan
pemikiran dan reaksi peribadi.
Aktiviti
Komunikasi
Satu cara untuk membolehkan pelajar berlatih membina dan
mengendalikan emosi dengan baik ialah melalui aktiviti berkomunikasi dengan
orang lain. Melalui aktiviti ini pelajar
dapat membina hubungan yang baik dan meguntungkan semua pihak melalui aktiviti
ini juga akan memberi kesempatan kepada pelajar mengekspresikan pemikiran
mereka secara aktif tanpa diwarnai kemarahan.
Aktiviti
Kerjasama dalam Kelompok
Dalam aktiviti ini, pelajar diajar konsep kerjasama
antara yang memimpin dan dipimpin. Kerjasama yang efektif adalah bila pelajar
tahu bila harus memimpin dan bila harus dipimpin. Kepimpinan yang efektif tidak dibangunkan
berdasarkan pada kuasa, tapi pada kemampuan diri dalam menolong orang supaya
mahu bekerja bersama-sama mencapai tujuan bersama. Melalui aktiviti ini, pelajar belajar
mengenali diri secara efektif bertujuan menghidupkan kerjasama bukan dengan
menyuruh dan mengkritik. Begitu juga
untuk membuat orang bersetuju dan bertanggungjawab pada hasil dari keputusan
yang dibuat secara suara ramai.
Kesimpulan
Memang diakui, mendidik seseorang untuk menjadi pintar
mungkin lebih mudah dan dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi mendidik
seseorang untuk mempunyai emosi yang baik dan seimbang tidak semua orang
mampu. Untuk melahirkan orang yng baik
dan seimbang emosinya memerlukan guru yngsabar, komited, lembut, penyayang dan
mempunyai semangat dedikasi yang tinggi dalam memahami dunia kehidupan dan geraklaku
anak didiknya serta mempunyai kecerdasan emosi yang sangat mantap hasil
sokongan semua pihak secar paling positif.
Memandangkan jalan sudah direntes maka terpulanglah kepada kita para
pendidik untuk membawa pesawat berangkat daripada landasan untuk berjuang bagi
memiliki kompetensi kecerdasan emosi yang amat diperlukan oleh pucuk-pucuk yang
sedang bertunas di tangan kita agar dapat tumbuh menjadi pohon yang rendang
lalu kita dapat berteduh di bawahnya bila sampai masanya kelak. Paling tidak, kita dapat melahirkan “Pemandu
trak nombor satu yang beriman dan berakhlak daripada melahirkan CEO yang
kesepuluh tahap pengurusannya.
Rujukan:
William, Watson Purkey dan
John M. Novak. 1996. Inviting School
Success. Wadswotrh Publishing Com.
London
Florence Littaurer. 1999.
Personality Plus. Advantage Quest
Publication
Ary Ginanjar Agustian.
2002. ESQ Berdasarkan 6 Rukun Iman dan %
Rukun Islam. Penerbit Arga. Jakarta
Indonesia
Danila Zainal Abidin
2004. 7 Formula Individu Cemerlang. PTS Publication
http://www.sekolah
Indonesia com
No comments:
Post a Comment