Wednesday 26 September 2012

Punca Penyakit Jantung

Punca Penyakit Jantung - Benarkah Kolesterol?

Saban hari kita diingatkan mengenai bahaya kolesterol, antaranya ia merupakan punca penyakit jantung. Statistik menunjukkan bahawa penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. Seperti saya, anda juga tentu percaya bahawa kolesterollah punca penyakit jantung.

Kita semua tahu yang kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Kolesterol HDL datang untuk membersihkan dinding arteri dari kolesterol LDL. Kita juga diberitahu semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita mendapat penyakit jantung.

Tahukah anda bahawa kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik. Kolesterol LDL dalam keadaan asal adalah baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, bahagian sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL dari makanan, badan kita sendiri akan membuat kolesterol tersebut. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol LDL dalam tubuh anda.

Anda mungkin terkejut atau tidak percaya jika saya katakan kolesterol bukan penyebab penyakit jantung seperti yang selalu digambarkan oleh media. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh dari mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan serangan jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol anda sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.

Kolesterol LDL bukan satu-satunya penyebab masalah radang pembuluh darah. Penyebab utama radang pembuluh darah adalah sesuatu yang dipanggil homosistein dan radikal bebas. Masalah hanya akan timbul apabila kolesterol LDL dioksida oleh radikal bebas. Tanpa radikal bebas, kolesterol LDL tidak akan bertukar menjadi tidak baik. Pernahkah anda mendengar tentang homosistein? Homosistein adalah bahan yang terhasil ketika tubuh kita menghadam makanan, sama seperti radikal bebas. Masalah akan timbul apabila jumlah homosistein yang dihasilkan adalah berlebihan. Dianggarkan lebih kurang 15% dari semua serangan jantung dan strok di seluruh dunia hari ini disebabkan oleh paras homosistein dalam darah yang tinggi.

Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer dari Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan dalam paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain dari itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka.

Kalau dulu dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, kajian-kajian dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Namun begitu kita tidak perlu bersusah hati kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan mengambil bekalan anti-oksidan, asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup.

Kesihatan Sepanjang Hayat

Kunci Kesihatan Sepanjang Hayat

Apabila anda sakit, anda akan berjumpa doktor. Sudah tentu doktor akan memberi anda ubat. Anda makan ubat tersebut dengan harapan anda akan sihat semula.  Beginilah bagaimana perjalanan perkhidmatan kesihatan sekarang, satu kitaran diagnosa dan preskrepsi.

Anda telah mendengarnya sebelum ini tetapi saya akan mengulanginya. Pencegahan lebih baik dari pengubatan. Namun anda mungkin tidak memberi perhatian kepadanya. Walau bagaimana pun sekiranya anda melihat dengan lebih dekat saranan doktor, ia akan membawa kepada kesimpulan bahawa mereka sebenarnya ingin mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal. Cuba renungkan. Renungkan bahawa makna sebenar pencegahan adalah menahan sesuatu dari berlaku.

Langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik untuk menyedari bahawa tubuh anda memerlukan penjagaan. Perkara kedua ialah mendapatkan maklumat. Adalah sukar untuk menjaga tubuh anda sekiranya anda tidak tahu apa-apa mengenainya. Bagaimana anda boleh melawan musuh sekiranya anda tidak memahami kenapa dan bagaimana ia bertindak?

Tahukah anda bahawa setiap dari kita dibekalkan dengan sistem pertahanan yang mampu melindungi diri kita dari sebarang penyakit? Sistem yang kompleks ini dianugerahkan kepada kita oleh yang Maha Pencipta dan dikenali sebagai sistem imun tubuh. Sistem imun tubuh bekerja pada setiap saat tanpa henti bagi
melindungi diri kita dari serangan berbagai mikro organisma yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit. Serangan tersebut bukan hanya datang dari luar malah dari dalam tubuh kita sendiri. Setiap hari kita berdepan dengan serangan mikro organisma yang terdiri dari berjuta jenis bakteria, beratus ribu jenis kulat, 130 lebih parasit dan lebih dari dua ribu jenis virus. Selain dari itu terdapat lebih dari dua ratus jenis sel kanser dan setiap dari kita terdedah
kepada serangannya. Justeru dalam setiap saat kehidupan kita, yang memisahkan kita dengan kematian adalah sistem imun. Jangkitan berulang atau jangkitan kronik, walaupun hanya demam selsema merupakan tanda sistem imun sudah mulai lemah. Adakah anda juga tahu bahawa sistem imun kita menjadi semakin lemah apabila usia kita semakin meningkat? Faktor yang melemahkan sistem imun termasuklah tidak cukup rihat, stres, makanan berproses, pertanian moden (makanan hilang khasiat), bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai).Memperkasakan sistem imun merupakan langkah penting untuk membina pertahanan bagi melawan penyakit dan mengurangkan kemungkinan mendapat demam, selsema, kencing manis atau kanser dll.

Sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik, sama ada terlebih atau terkurang tindakbalas, boleh membawa kepada berbagai jenis penyakit. Sebagai contoh,
terlebih tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit auto-imun seperti diabetes jenis 1,
artritis reumatoid, slerosis berganda dan lupus. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, HIV,
hepatitis dan kayap. Terlebih tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada penyakit di bawah kategori alahan seperti rinitis, lelah, ekzema dan sinusitis. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada infeksi.

Memperkasakan sistem imun merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan yang lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan. Apa yang sebenarnya anda faham mengenai makanan seimbang? Renungkan fakta berikut:

  • Di abad ini terdapat lebih 75,000 bahan kimia sintetik dalam persekitaran, yang tidak pernah wujud sebelum 1940.


  • Buah-buahan biasanya dipetik ketika belum masak, ini membuatkan nutrien yang tak ternilai belum sempat terhasil. Selepas dipetik, proses tersebut terhenti.


  • Sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak. Perlu dibersih berulang kali untuk membuang racun dan proses ini membuatkan nutrien hilang.


  • Antibiotik dan hormon pertumbuhan digunakan dalam penghasilan daging, ayam dan hasil tenusu.


  • Makanan diproses dengan menggunakan pewarna tiruan, perisa tiruan dan bahan pengawet.


  • Udara dan sumber air juga turut tercemar.
Adakah anda masih percaya yang anda boleh mendapatkan makanan seimbang?